Sunday, December 29, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga graduan IBTE dipilih sertai After Sales Scholar NBT

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – NBT (Brunei) Sdn Bhd meneruskan Program Penyetempatan NBT dalam servis automatif dengan mengumumkan kumpulan kedua After Sales Scholar terdiri daripada tiga orang graduan dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) pada majlis penandatangan di Dewan Pameran NBT Gadong, hari ini.

    Tiga graduan yang dipilih untuk menandatangani dan menyertai program berkenaan ialah Dayang Sharifah Norhazwani binti Wan Norsani, Awang Arnol Luqmanal Hakeem bin Haji Rozaini dan Awang Muhammad Nasiruddin Amzar bin Haji Aminuddin, ketiga-tiga mereka adalah daripada bidang mekanik.

    Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak NBT ialah Pengarah Urusan, Haji Ahmad Omar bin Haji Husin dan Pengurus Besar Lepas Jualan, Lauro M De Guzman.

    Haji Ahmad Omar ketika mengulas mengenai penandatanganan berkenaan menyatakan bahawa NBT amat gembira kerana berpeluang sekali lagi untuk mengalu-alukan tiga orang lagi graduan IBTE menyertai program itu.

    Setelah kejayaan graduan IBTE yang menyertai program kumpulan pertama, beliau menaruh harapan kumpulan graduan baharu berkenaan juga akan bakal mengikuti jejak kejayaan mereka.

    Haji Ahmad Omar bergambar ramai dengan kumpulan kedua After Sales Scholar, ibu bapa mereka serta pegawai-pegawai dari IBTE dan NBT.
    Dayang Sharifah Norhazwani (dua dari kiri) ketika menandatangani perjanjian semasa Majlis Penandatangan After Sales Scholar Kumpulan 2 yang berlangsung di Dewan Pameran NBT Gadong, hari ini.
    Haji Ahmad Omar (dua dari kanan), Lauro M De Guzman (satu dari kanan) dan Awang Arnol Luqmanal Hakeem (dua dari kiri) semasa Majlis Penandatangan After Sales Scholar Kumpulan 2 yang berlangsung di Dewan Pameran NBT Gadong, hari ini.
    Awang Muhammad Nasiruddin Amzar (dua dari kiri) dan Haji Ahmad Omar (dua dari kanan) semasa Majlis Penandatangan After Sales Scholar Kumpulan 2 yang berlangsung di Dewan Pameran NBT Gadong, hari ini.

    “NBT merupakan sebuah tempat yang hebat untuk belajar dan berkembang.”
    Ulasnya lagi, Jabatan Lepas Jualan berkenaan mempunyai kakitangan teknikal yang diiktiraf oleh Toyota serta berkelayakan untuk membantu pengambilan baharu itu.

    Pada masa yang sama, Haji Ahmad Omar menyatakan penghargaan kepada IBTE atas kolaborasi dan kerjasama yang erat serta berhasil antara mereka dan NBT sentiasa gembira untuk menerima graduan me-reka.

    After Sales Scholar merupakan sebahagian daripada Program Penempatan NBT dalam servis automotif yang bermatlamat untuk mempercepatkan pembelajaran dan keboleh-kerjaan peserta, pengambilan pekerja tempatan yang mampan serta perancangan kapasiti tenaga manusia.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayang Sharifah Norhazwani, Awang Arnol Luqmanal Hakeem dan Awang Muhammad Nasiruddin Amzar menyatakan perasaan gembira dan teruja kerana telah berjaya terpilih menyertai program berkenaan serta tidak sabar untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman yang setentunya akan membantu untuk mengembangkan diri mereka dalam bidang mekanik yang diceburi.

    Sementara itu, mengulas mengenai bidang mekanik yang diceburi, Awang Muhammad Nasiruddin Amzar berkata minat dalam bidang berkenaan memang lahir dari usia muda lagi serta sokongan dan galakan daripada ibu bapa memberikannya semangat untuk terus mendalami bidang mekanik.

    Perkara yang sama turut dikongsi oleh Awang Arnol Luqumanal Hakeem di mana beliau lebih cenderung kepada kerja-kerja menggunakan tangan dan tenaganya sendiri di mana bidang mekanik memang sebati dengan minatnya.

    Mereka juga menyatakan bahawa kepada golongan muda yang berminat untuk mencuba bidang mekanik, mereka harus berani untuk tampil ke hadapan dan menceburi bidang minat masing-masing kerana daripada minat itu, lahir peluang kerjaya yang membawa mereka kepada kejayaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda