Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 15 SEPT – Tiga peserta muncul juara dalam kategori masing-masing pada perlawanan akhir Pertandingan Dam yang berlangsung di Dewan Serba guna Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, kelmarin.
Fairulman bin Haji Bidin menjuarai kategori Lelaki selepas menewaskan Abdul Aziz bin Haji Jali, manakala Kategori Wanita dimenangi Marzieamarni binti Azman yang mengatasi Kalsum binti Osman. Bagi Kategori Kanak-kanak, Mohd Halip bin Abdullah muncul juara selepas menewaskan Noor Shafie bin Noor Arrashid.
Pertandingan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan A dengan kerjasama Pejabat Daerah Belait itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 tahun.
Seramai 17 peserta dari seluruh Daerah Belait menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung dari 12 hingga kelmarin, melibatkan kategori Lelaki, Wanita dan Kanak-kanak.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman yang disambut oleh Ketua Kampung Pandan A, Awang Abdul Aziz bin Haji Seri.


