LANGKAWI, 26 MEI – Kecomelan tiga beradik yang muncul bergaya dengan pakaian seragam anggota tentera udara pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) menarik perhatian pengunjung tempatan dan antarabangsa di pameran dwitahunan itu.
Muhammad Faiq Mohamad Faizal, 12; Muhammad Qais, 8; dan Muhammad Qaid, 4; masing-masing bercita-cita sama untuk menjadi juruterbang, mengikuti langkah bapa mereka, Mohamad Faizal Abd Aziz, 40, yang merupakan juruterbang MD503 Pasukan Udara Tentera Darat.
Mohamad Faizal merupakan seorang daripada anggota pasukan aerobatik di Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat pertunjukan udara sepanjang LIMA ‘23 yang bermula Selasa.
Ketika ditemui Bernama di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Muhammad Qais, anak ketiga daripada empat beradik memasang impian untuk membawa pesawat F-117A Nighthawk atau lebih dikenali Black Jet.
“Besar nanti saya nak jadi juruterbang pesawat penggempur sebab boleh bawa jet pejuang kerana pesawat itu laju. Saya teringin bawa Black Jet sebab ayah kata (pesawat) itu bagus,” katanya yang teruja melihat pertunjukan udara pada LIMA ‘23 yang mula dibuka kepada orang awam hari ini.
Sementara itu, Muhammad Faiq berkata, selain mahu menjadi juruterbang, dia juga menyatakan hasrat untuk menjadi pakar senjata dan aset ketenteraan kerana sering melihatnya melalui permainan video.
Ibu mereka, Yuzaini Mohamad, 38, berkata, tujuannya membawa ketiga-tiga anak memakai uniform itu sebagai memberi sokongan kepada suami yang membuat persembahan udara selain dorongan buat mereka untuk mencapai cita-cita menjadi juruterbang. – Bernama