SUDAN, 10 JAN – Dianggarkan 3.2 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun dijangka menghadapi malnutrisi akut tahun ini di Sudan yang dilanda perang, menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Daripada jumlah ini, kira-kira 772,000 kanak-kanak dijangka mengalami malnutrisi akut yang teruk,” kata Eva Hinds, Ketua Sokongan dan Komunikasi UNICEF Sudan, kepada AFP lewat Khamis.
Kebuluran telah pun membelenggu lima kawasan di seluruh Sudan, menurut laporan bulan lalu oleh Klasifikasi Fasa Jaminan Makanan Bersepadu (IPC), satu penilaian yang disokong oleh PBB.
Sudan telah bertahan 20 bulan perang antara tentera dan Pasukan Sokongan Cepat (RSF), yang mengorbankan puluhan ribu orang dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memaksa 12 juta orang meninggalkan rumah mereka dalam krisis pemindahan terbesar di dunia.
Mengesahkan kepada AFP bahawa 3.2 juta kanak-kanak dijangka menghadapi malnutrisi akut, Hinds berkata, “Jumlah kanak-kanak yang mengalami pemakanan tak seimbang teruk meningkat daripada kira-kira 730,000 pada 2024 kepada lebih 770,000 pada 2025.”
IPC menjangka kebuluran akan merebak ke lima lagi kawasan di wilayah Darfur barat Sudan menjelang Mei, satu kawasan luas yang telah menyaksikan beberapa keganasan terburuk dalam konflik itu. Sebanyak 17 kawasan lain di Sudan barat dan tengah juga berisiko mengalami kebuluran, katanya.
“Tanpa akses bantuan kemanusiaan segera yang membolehkan respons pelbagai pihak disalurkan, malnutrisi dijangka akan meningkat di kawasan-kawasan berkenaan,” Hinds mengingatkan.
Pada Oktober, kerajaan tentera Sudan menolak hasil dapatan itu, sementara pakar yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB menuduh kedua-dua pihak menggunakan ‘taktik kelaparan’. – AFP