Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga juta kanak-kanak UK hidup di bawah garis kemiskinan

    LONDON, 9 OKT – Seramai 9.3 juta orang, termasuk tiga juta kanak-kanak, sedang menghadapi kebuluran dan kesusahan di United Kingdom (UK), menurut satu kajian hari ini, dengan kerajaan Parti Buruh baharu di bawah tekanan untuk melakukan lebih banyak usaha bagi membasmi kemiskinan kanak-kanak.

    Hasil dapatan itu keluar sebelum belanjawan pertama kerajaan yang akan di-umumkan akhir bulan ini, dan dengan krisis kos sara hidup telah mendorong peningkatan mendadak dalam penggunaan bank makanan.

    Menurut laporan oleh pertubuhan bukan kerajaan Trussell Trust, hampir satu perempat daripada kanak-kanak di bawah umur empat tahun sedang menghadapi kemiskinan yang melampau.

    “Apa yang mengejutkan, 46 peratus lagi kanak-kanak sedang menghadapi kebuluran dan kesusahan berbanding dua dekad lalu.

    “Ia bersamaan dengan satu daripada lima kanak-kanak yang membesar terperangkap dalam situasi ini,” kata Trust dalam satu kenyataan.

    Laporan UNICEF tahun lalu mendapati bahawa UK, sebuah negara anggota G7 dan NATO, serta ekonomi keenam terbesar di dunia mempunyai salah satu kadar kemiskinan kanak-kanak tertinggi dalam kalangan negara-negara yang lebih kaya.

    Trust berkata bahawa tanpa tindakan segera daripada kerajaan Perdana Menteri, Keir Starmer, bilangan orang yang menghadapi kebuluran dan kesusahan yang ditakrifkan sebagai hidup 25 peratus di bawah paras kemiskinan akan terus meningkat.

    Badan amal itu mentakrifkan garis kemiskinan sebagai £152 seminggu untuk seseorang yang tinggal bersendirian dan £204 untuk ibu bapa tunggal dengan seorang anak. Ini termasuk membayar bil elektrik, air dan cukai hartanah serta makanan.

    Mengeluarkan had faedah dua anak – bermakna keluarga tidak boleh menuntut subsidi kerajaan untuk anak ketiga yang lahir selepas April 2017 – merupakan salah satu langkah yang boleh mengurangkan tahap kemiskinan, kata badan itu. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda