PUTRAJAYA, 30 APRIL – Sebanyak tiga kes baharu dikesan membabitkan dua kluster COVID-19 di Sarawak hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, bagi kluster Persidangan Gereja di Kuching terdapat satu kes baharu yang menjadikan jumlah kes positif COVID-19 kluster itu 176 kes.
Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu 86 kes discaj yang telah pulih sepenuhnya, 85 kes sedang dirawat di wad biasa di hospital; dua kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes kematian (kes ke-358, kes ke-2471 dan kes ke-2864).
“Bagi kluster Hospital Umum Sarawak (HUS) melibatkan anggota kesihatannya pula, terdapat dua kes baharu, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 kluster ini 56 kes dengan 35 telah pulih sepenuhnya dan 21 kes lagi sedang dirawat di hospital,” katanya.
Bercakap pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes daripada kluster HUS berkait rapat dengan kluster Persidangan Gereja dengan 29 kes atau 51.8 peratus. – Bernama