Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga ketua kampung baharu terpilih

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 6 NOV – Tiga ketua kampung baharu telah dipilih oleh penduduk masing-masing dalam sesi pemilihan calon ketua kampung yang bermula sejak 3 November lalu menerusi aplikasi e-undi PMKK, dan pengundian menggunakan kaedah kertas undi yang diadakan kelmarin di Dewan Serba guna Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut, Daerah Belait.

    Antara calon yang bertanding adalah Haji Khairdon bin Haji Dahlan, Awang Abdul Hafiz Ideris bin Haji Marmin dan Awang Mohamad Rosli bin Haji Jais; yang masing-masing bertanding untuk jawatan Ketua Kampung Lumut II, RPN Lumut Kawasan 2, dan RPN Lumut Kawasan 3.

    Calon tunggal yang layak bagi jawatan Ketua Kampung Lumut II ialah Haji Khairdon berusia 54 tahun. Beliau berkelulusan Sijil Am Pelajaran Brunei (O Level) dan semasa ini selaku Pemangku Ketua Kampung Lumut II. Beliau merupakan seorang pesara daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sebagai ketua kerani berpangkat Pegawai Waran Dua (PW2).

    Sementara itu, calon tunggal yang layak bagi jawatan Ketua Kampung RPN Lumut Kawasan 2 ialah Awang Abdul Hafiz Ideris berusia 41 tahun. Beliau berkelulusan Master of Science in Biomedical dari University of Keele, United Kingdom dan juga Sarjana Muda Bioperubatan (Kepujian) dari Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia.

    Pada masa ini beliau bertugas sebagai Juruteknologi Makmal di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan.

    Sesi penghitungan undian dilakukan sekali gus menutup acara pengundian tersebut di Dewan Serba guna Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut, Daerah Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Manakala calon tunggal yang layak bagi jawatan Ketua Kampung RPN Lumut Kawasan 3 ialah Awang Mohamad Rosli berusia 48 tahun. Beliau berkelulusan Sijil Am Pelajaran Peringkat Biasa (O Level) dan semasa ini bertugas sebagai Pekerja Tingkat II dan Penerbitan Majalah TV di Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri.

    Ketiga-tiga calon tersebut telah memperoleh majoriti undian yang memberikan sokongan kepada mereka untuk mengambil jawatan masing-masing sebagai ketua kampung.

    Proses pengiraan undi diawasi oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman, serta wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Mohammad Hazeeq bin Arsad.

    Keputusan pemilihan akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda