KUALA LUMPUR, 18 SEPT – Tiga daripada empat kluster COVID-19 aktif di Sabah terus mencatatkan peningkatan kes baharu, dengan Kluster Benteng Lahad Datu (LD) Sabah merekodkan kes tertinggi iaitu 76 kes, daripada keseluruhan 95 kes baharu hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif bagi kluster itu meningkat kepada 550 kes, dengan sejumlah 7,814 individu disaring dalam tempoh 24 jam lepas.
Memperinicikan kluster tersebut beliau berkata, sejumlah 2,009 individu disaring di Lahad Datu, 5,804 individu disaring di Tawau dan satu kes disaring serta didapati positif di Sandakan.
“Bagi Lahad Datu, 151 kes dikesan positif dengan sembilan kes baharu, 1,306 individu negatif dan 552 individu menunggu keputusan. Di Tawau, daripada jumlah 5,804 individu disaring, 398 kes dikesan positif dengan 66 kes baharu, 4,120 individu negatif dan 1,286 individu menunggu keputusan.
“Daripada jumlah 550 kes positif, 271 adalah dalam kalangan warga Malaysia, manakala 279 bukan warganegara melibatkan warganegara Filipina (185 kes) dan Indonesia (94 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, bagi Kluster Pulau, Sabah, terdapat empat kes baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif kluster itu kepada 14 kes dengan sejumlah 345 individu disaring, setakat hari ini.
“Di Kunak, seramai 342 individu disaring dan didapati 11 kes positif, 63 negatif dan 268 individu menunggu keputusan. Di Semporna, ketiga-tiga saringan yang dilakukan dikesan positif. Daripada 14 kes positif kluster ini, 13 ialah warga Malaysia, manakala satu warga Filipina,” katanya.
Mengenai Kluster Selamat, Sabah yang dikesan semalam, terdapat tiga kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak lima kes, dengan sejumlah 137 individu disaring bagi kluster itu. Daripada jumlah tersebut, lima kes dikesan positif manakala 132 individu masih menunggu keputusan. – Bernama