Monday, November 11, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga kru hilang selepas kapal tangki terbakar

    JOHOR BAHRU, 2 MEI – Tiga kru kapal yang hilang selepas sebuah kapal tangki MT Pablo berdaftar dari Gabon, Afrika terbakar kira-kira 50 peratus pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi semalam, dipercayai masih hidup.

    Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ketiga-tiga identiti kru kapal telah dikenal pasti dengan dua daripadanya warga India iaitu Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, manakala seorang lagi warga Ukraine iaitu Sabit Shenderovskyi, 37.

    “Ada kemungkinan mereka terselamat jika dapat melarikan diri daripada kawasan kebakaran iaitu ruangan tengah kapal. Mungkin ada ruangan yang tertutup yang kedap udara menyebabkan kawasan itu tidak terjejas.

    “Namun, jumlah bekalan oksigen pula bergantung kepada saiz ruangan berkenaan, sekiranya saiz kecil mungkin boleh bertahan sehari, atau jika ruangan itu besar mungkin mereka boleh bertahan beberapa hari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria.

    Saiful Lizan berkata, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 3 petang semalam itu, terdapat seramai 28 kru di dalam kapal tersebut dengan 25 daripadanya telah diselamatkan manakala tiga lagi masih dicari.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang memasuki hari kedua dijalankan itu melibatkan pelbagai aset laut dan udara daripada beberapa agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Johor dan Pelabuhan Johor – Bernama

    Timbalan Ketua Pengarah Logistik APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda