ISLAMABAD, 3 DIS – Pakistan mengesahkan tiga lagi kes polio, menjadikan jumlah keseluruhan kes bagi tahun 2024 meningkat kepada 59, menurut Institut Kesihatan Negara (NIH), semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Makmal Rujukan Serantau untuk Pembasmian Polio di NIH mengesahkan pengesanan Virus Polio Liar Jenis 1 (WPV1) dalam kalangan tiga kanak-kanak di kawasan berlainan di negara itu.
NIH menyatakan satu kes dilaporkan dari daerah barat laut Dera Ismail Khan, manakala dua lagi kes disahkan masing-masing di bandar pelabuhan selatan Karachi dan daerah Kashmore di wilayah selatan.
Pakistan kini giat menangani peningkatan semula WPV1 dengan menggunakan segala usaha yang ada, kata NIH. Daripada kes yang disahkan, 26 dikesan dari wilayah barat daya Balochistan, 16 dari wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, 15 dari wilayah selatan Sindh, dan masing-masing satu kes dari wilayah timur Punjab serta ibu negara Islamabad.
NIH menggesa ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka yang berusia di bawah lima tahun menerima vaksin polio oral pada setiap kempen pembasmian polio.
“Kempen vaksinasi besar-besaran seterusnya dirancang pada pertengahan Disember dengan sasaran lebih 44 juta kanak-kanak,” menurut NIH. Ia menegaskan bahawa vaksinasi adalah langkah penting untuk melindungi kanak-kanak, terutama dengan peningkatan mendadak wabak polio yang sedang berlaku. – Xinhua