Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 26 Mac – Seorang lelaki berbangsa Iban dan dua orang wanita warga Filipina telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, di sini, kelmarin.
Dengan pengislaman berkenaan, Gendang anak Kawan berbangsa Iban kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Abdedenns Ariffin bin Abdul Rahman Kawan.
Manakala itu, dua warga Filipina, Lamberte Ruvie Tabutol telah memilih nama Islamnya sebagai Nur Hana Ruqayah binti Abdullah Lamberte dan Jennylyn Dayo Villanueva kini dikenali sebagai Zahratul Jannah binti Abdullah Villanueva.
Majlis pengislaman tersebut telah dihadiri sama oleh Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu yang juga telah menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baru berkenaan.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan pengislaman dan penyampaian cenderahati serta disudahi dengan bacaan Doa Selamat.
