Tiga lagu ciptaan bersama penyanyi dan komposer, Hael Husaini mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 dengan sembilan karya lain, seperti diumumkan pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, malam tadi.
Tiga lagu itu adalah Belenggu Rindu yang dicipta Hael bersama Ezra Kong dendangan Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita.
Single ini turut diangkat lagu terbaik pada episod akhir SFMM35, malam tadi. Turut mara ke pentas akhir, lagu Hati yang dicipta Hael bersama Ezra dan Peluang Kedua yang diciptanya bersama MFMF. Pada episod pertama SFMM35, Hati dipilih lagu terbaik.
Dua lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang didendangkan penyanyi lain turut mara ke AJL 35 yang akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 7 Februari depan.
Lagu itu adalah 7 Nasihat nyanyian Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta yang diumumkan lagu terbaik pada episod kedua SFMM35.

Turut bersaing, lagu Aku Bidadari Syurgamu ciptaan Ippo Hafiz dendangan Aishah.
Manakala bersaing memburu gelaran Juara Lagu adalah Semalam ciptaan dan nyanyian Aina Abdul serta Hutang dendangan Floor 88 ciptaan Zai Hamzah dan Achoi.
Lagu lain ialah Kau Sakiti, dendangan Amir Masdi yang dicipta Faizal, Mike, Ezra, Romeo dan Mage serta Gila (Kaka Azraff, Noki dan Loca B ciptaan Noki, Loca B dan Ezra).
Selain itu, lagu Gundah (Ernie Zakri ciptaan Ernie Zakri dan Sharon Paul); Eh (Zizi Kirana ciptaan Zizi, Navigator dan Mambang) serta Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter ciptaan Dark) menempah tiket ke pentas AJL35.
Sebelum ini, dua episod SFMM35 berlangsung pada 20 dan 21 November lalu di lokasi sama.
Tiga puluh lagu hasil undian peminat melalui carta Muzik Muzik 35 bersaing pada SFMM35. – Agensi