Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga langgar Akta Kawalan Harga

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Tiga buah premis perniagaan didapati melanggar Akta Kawalan Harga, Penggal 142 semasa operasi sepadu yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang diadakan di Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, selain daripada penguatkuasaan rutin harian, operasi sepadu JPES bersama Unit SDT merupakan kerja penguatkuasaan secara bulanan yang dijalankan sebagai usaha dalam mewujudkan iklim perniagaan yang beretika dengan memastikan kepatuhan peniaga terhadap perundangan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya serta Akta Sukatan dan Timbangan Penggal 151.

    Semasa operasi berkenaan, JPES telah mengeluarkan dua notis amaran kepada dua buah syarikat masing-masing atas kesalahan tidak mempamerkan tanda harga bagi beberapa barangan yang dijual dalam premis perniagaan. Selain itu, satu kompaun berjumlah $500 dikenakan ke atas sebuah syarikat kerana tidak mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi beberapa produk susu tepung formula anak damit.

    Sementara itu, Unit SDT mendapati bahawa semua premis perniagaan yang telah diperiksa mematuhi sepenuhnya Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Peniaga diingatkan sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dalam membantu membangunkan persekitaran perniagaan yang wajar dan mampan serta memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga amnya, dengan menjalankan perniagaan yang beretika.

    Peniaga turut diingatkan untuk memastikan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi aktiviti jual beli mempunyai pelekat pendaftaran yang mengandungi tempoh penggunaan yang sah yang dikeluarkan oleh Unit SDT di bawah Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Dalam pada itu, pengguna digalakkan untuk mengamalkan amalan ‘Pengguna Bijak’ semasa membeli-belah dengan membuat perbandingan harga serta melaporkan aduan secara rasmi dengan menyertakan dokumen sokongan kepada agensi-agensi berkenaan, jika terdapat amalan perniagaan yang tidak wajar.

    Mereka boleh melaporkan aduan kepada Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES di talian Darussalam 123 atau e-mel, aduanpengguna@jpes.gov.bn serta Unit SDT di talian, 2334092 atau e-mel, sdt@mofe.gov.bn.

    ATAS & BAWAH : Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan semasa operasi sepadu di Daerah Tutong baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda