WUPPERTAL, 13 FEB – Tiga lelaki telah didapati bersalah dalam kes peras ugut terhadap keluarga legenda Formula 1 Michael Schumacher.
Tiga lelaki menuntut 15 juta euro daripada keluarga tersebut untuk mengelakkan daripada mendedahkan ratusan foto dan video peribadi keluarga serta salinan digital rekod perubatan Schumacher.
Mahkamah daerah di Wuppertal, Jerman Barat, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas defendan utama, manakala anaknya menerima hukuman penjara enam bulan yang digantung dan denda 1,200 euro, lapor agensi berita dpa, kelmarin. Defendan utama mempunyai sabitan kesalahan terdahulu.
Seorang lagi defendan, bekas pengawal keselamatan keluarga, menerima hukuman penjara dua tahun yang digantung dan denda 2,400 euro atas tuduhan membantu dan bersubahat dengan dua lelaki berkenaan.
Hakim Birgit Neubert berkata pekerja keselamatan tersebut memberikan sumbangan terbesar kepada jenayah itu melalui pecah amanahnya, lapor dpa.
Keluarga Schumacher diugut dengan pendedahan bahan peribadi mereka di laman web haram. Pejabat pendakwa raya berkata kira-kira 900 gambar dan hampir 600 video keluarga serta rekod perubatan digital Schumacher telah dirampas daripada ketiga-tiga lelaki itu. Sebuah pemacu keras masih hilang. – AP
