HANOI, 11 NOV – Tiga lelaki yang dihanyutkan jauh dari pantai Vietnam akibat Taufan Kalmaegi berjaya diselamatkan selepas terapung tanpa arah selama lebih 40 jam, menurut seorang penyelamat dan isteri salah seorang mangsa kelmarin.
Mereka telah diselamatkan dalam satu operasi selama beberapa jam pada Sabtu melibatkan tiga kapal yang mencari di perairan pesisir tengah Vietnam, menurut seorang kelasi di atas salah satu kapal penyelamat.
Taufan Kalmaegi melanda kawasan tengah negara itu pada Khamis, menyebabkan kira-kira lima orang maut selepas sebelum itu meragut lebih 200 nyawa di Filipina.
Phan Hau, 40, yang kapalnya menarik salah seorang daripada tiga lelaki itu ke tempat selamat, memberitahu AFP, “Kami benar-benar terkejut, ia terasa seperti satu keajaiban.”
Media kerajaan melaporkan tiga lelaki itu dilaporkan hilang pada Khamis petang selepas salah seorang daripada mereka, Duong Quang Cuong, 44, terjun ke laut akibat pertelingkahan keluarga.
Le Quang Sanh dan Pham Duy Quang mendayung keluar dengan jaket keselamatan menggunakan bot kecil untuk cuba menyelamatkan Cuong, tetapi bot itu terbalik dan ketiga-tiga mereka dihanyutkan jauh dari pantai sebelum akhirnya terpisah.
Menurut laporan media kerajaan, Quang merupakan orang pertama yang diselamatkan pada pagi Sabtu oleh kapal Hai Nam 39 di selatan Pulau Ly Son, tempat mereka berlepas pada asalnya.
Kapal Hai Nam 39 kemudian menghubungi pihak berkuasa pelabuhan yang menghantar kapal An Vinh Express, menurut Hau.
Ketiga-tiga lelaki itu kini dirawat di hospital sejak kelmarin, namun tiada maklumat rasmi mengenai keadaan mereka. yang terkini. – AFP

