Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Tiga mahasiswi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berlepas ke Malaysia, baru-baru ini, setelah terpilih untuk menjalani Program Latihan Industri (LI) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Kuala
Terengganu.
Menurut kenyataan UNISSA, hari ini, mahasiswi berkenaan iaitu Dayang Nur Syahidah Wafiqah Wafa binti Mohd Humaizi, Dayang Aiman Abadiyah binti Haji Sopian dan Dayang Nuramal Atiqah binti Haji Sudirman merupakan pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Bahasa Arab dan Terjemahan daripada Fakulti Bahasa Arab (FBA).
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlayar ialah Dekan FBA, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah dan Ketua Program Pra-Siswazah FBA, Dr Kujaimah binti Haji Abdul Kahar.
LI merupakan salah satu kursus yang ditawarkan di UNISSA dalam usaha memberi peluang kepada para mahasiswa dan mahasiswi untuk menimba pengalaman pendidikan yang lebih luas, dan membangun kemahiran profesional mereka seperti komunikasi, keyakinan diri, kongsi sama dan bertukar idea.
LI tersebut dilaksanakan sama ada di dalam mahupun luar negara.
UNISSA turut mengongsikan bahawa pihak FBA sangat berbangga dengan pencapaian mahasiwi-mahasiswi berkenaan kerana melayakkan diri untuk mengikuti kursus berkenaan di luar negara dan berharap agar pengalaman yang bakal mereka perolehi di UNiSZA akan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menjadikan mereka sebagai individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.