Tuesday, February 4, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga majikan langgar Perintah Pekerjaan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Tiga majikan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 semasa Operasi Kelinga 113/2023 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di kawasan Kampung Penanjong, Kampung Luagan Timbaran dan Kampung Panchor Dulit pada 1 Jun lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), di sini, operasi itu bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Jabatan Buruh menyatakan, semasa pemeriksaan pertama yang dijalankan Kampung Penanjong telah mendapati tiga kesalahan di bawah perintah itu yang dilakukan oleh majikan iaitu Bab 70 gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 112 (1) menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh dan Bab 112 (2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing di mana tiga orang pekerja berjawatan buruh membuat pekerjaan juruwang.

    Semasa pemeriksaan kedua yang dijalankan di Kampung Luagan Timbaran, tiga kesalahan didapati dilakukan oleh majikan.

    Kesalahan-kesalahan berkenaan ialah di bawah Bab 10 iaitu majikan tidak menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab dan Bab 112 (2) di mana seorang pekerja berjawatan buruh membuat pekerjaan penyemakan invois.

    Manakala itu, pemeriksaan ketiga yang dijalankan di Kampung Panchor Dulit mendapati satu kesalahan di bawah Bab 10.

    Jabatan Buruh menyatakan bagi kesalahan berkenaan, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua. Bagi kesalahan ketiga ataupun jika gagal membayar denda kompaun berkenaan, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Pegawai penguat kuasa undang-undang Jabatan Buruh semasa mengadakan Operasi Kelinga di salah satu kawasan pada 1 Jun lalu. – Gambar serahan Jabatan Buruh

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda