Tiga maut, 50 cedera dalam letupan bom

LAHORE, PAKISTAN, 19 OGOS – Kira-kira tiga orang telah terbunuh manakala 50 yang lain cedera apabila sebiji bom meledak semasa perarakan Asyura Syiah di tengah Pakistan hari ini, kata para pegawai.

Kawalan keselamatan dipertingkatkan ketika kumpulan minoriti menyambut hari Asyura pada bulan Muharam, di mana keganasan membabitkan penganut itu sering berlaku sebelum ini.

“Kami telah mengesahkan tiga maut manakala 50 cedera akibat letupan di tapak tersebut,” kata pegawai kanan kerajaan di bandar Bahawalnagar, di wilayah Punjab.

Video-video dalam media sosial menunjukkan mangsa berdarah terdampar di jalan raya telah dibantu oleh orang awam.

Seorang pegawai polis tempatan, Kashif Hussain juga mengesahkan jumlah kematian itu kepada AFP.

“Punca sebenar letupan masih disiasat dan pasukan keselamatan sedang mengumpulkan bukti dari lokasi kejadian,” katanya.

Setakat ini, pihak berkuasa menghentikan perkhidmatan telefon bimbit di beberapa bandar utama sebagai langkah keselamatan ketika perarakan Asyura. – AFP