Friday, November 29, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga maut akibat salji lebat di Korea Selatan

    SEOUL, 28 NOV – Salji lebat melanda Korea Selatan untuk hari kedua berturut-turut hari ini, menyebabkan tiga kematian dan mengganggu penerbangan serta perkhidmatan feri, lapor pihak berkuasa.

    Tiga mangsa maut di wilayah Gyeonggi berhampiran ibu kota Seoul, termasuk seorang yang maut apabila garaj jenis khemah runtuh ketika kerja pembersihan salji dijalankan. Seorang lagi maut apabila jaring latihan golf runtuh akibat cuaca ekstrem tersebut.

    Salji yang berpanjangan menyebabkan pembatalan 156 penerbangan dan gangguan pada 104 perkhidmatan feri merentasi 79 laluan, menurut Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan.

    Salji hari kedua ini mengikuti rekod salji November yang terberat di Seoul sejak lebih seratus tahun, menurut agensi cuaca negara itu. Salji yang lebat juga menandakan salji pertama musim ini di ibu kota.

    Sehingga jam 11 pagi, sehingga 40 sentimeter salji dilaporkan terkumpul di beberapa bahagian ibu kota, manakala kawasan lain di luar Seoul mencatatkan timbunan salji hampir 45 sentimeter.

    Susulan salji lebat, kerajaan bandar Seoul mengerahkan 11,000 anggota petugas dan 20,000 peralatan untuk operasi pembersihan salji di ibu kota.

    Pihak berkuasa melaporkan sebanyak 131 gangguan bekalan elektrik sementara 46 daripadanya dipulihkan kelmarin.

    Walaupun nasihat mengenai salji lebat telah ditarik balik di Seoul, ia masih berkuat kuasa di banyak kawasan selatan di luar ibu kota, di mana beberapa kawasan masih mengalami salji dengan kadar sekitar satu sentimeter sejam, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea. – AFP

    Seorang pekerja menggunakan traktor untuk mengeluarkan salji di Perhimpunan Kebangsaan di Seoul, Korea Selatan pada 27 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda