Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga maut dalam kemalangan di Lahad Datu

    LAHAD DATU, 2 JULAI – Tiga lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan minyak sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu-Sandakan semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu (pacuan empat roda) Mohd Azizi, 28, serta penumpang hadapan Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, dan Muhammad Zulkhairi Ismail, 29, yang duduk dibahagian belakang.

    “Kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

    “Pemandu treler lelaki berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Sumsoa berkata pihaknya menerima panggilan melalui MERS999 berhubung kemalangan itu pada 8:52 malam dan sepasukan 12 anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan bergegas ke lokasi sejauh 30 kilometer dari balai bomba berkenaan.

    Operasi menyelamat ditamatkan pada 12:40 tengah malam. – Bernama

    Keadaan pacuan empat roda yang terlibat dalam nahas jalan raya mengorbankan tiga mangsa di Lahad Datu semalam. – Foto ihsan JBPM Sabah
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda