QUETTA, PAKISTAN, 30 NOV – Seorang pengebom nekad meletup dirinya berhampiran sebuah trak yang membawa pegawai polis yang sedang dalam perjalanan untuk melindungi pekerja polio di Quetta hari ini, membunuh seorang pegawai polis dan dua orang awam. Letupan juga mencederakan 23 orang lain, kebanyakannya pegawai polis.
Ghulam Azfer Mehser, pegawai kanan polis, berkata serangan berlaku ketika polis sedang menuju ke tempat pekerja polio, sebahagian daripada kempen vaksinasi yang dilancarkan di seluruh negara pada Isnin.
Letupan adalah amat kuat sehingga trak tersebut terbalik ke dalam gaung, katanya, menambah pengeboman juga merosakkan sebuah kereta berhampiran yang membawa ahli sebuah keluarga.
Menurutnya, kempen antipolio akan diteruskan walaupun selepas pengeboman. Presiden Pakistan, Arif Alvi; Perdana Menteri Shahbaz Sharif dan pegawai lain dalam kenyataan berasingan mengecam serangan itu. Ia berlaku sehari selepas Timbalan Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khan berkunjung ke Kabul untuk membincang pelbagai isu dengan Taliban Afghan, termasuk ancaman terbaharu daripada Taliban tempatan. – AP
