Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga maut dalam nahas bas di Pennsylvania

    LOWER PAXTON TOWNSHIP, PA., 7 OGOS – Tiga penumpang maut selepas bas sewa yang membawa sehingga 50 penumpang bertembung dengan sebuah kenderaan di negeri Pennsylvania, kata polis negeri.

    Nahas berlaku ketika hujan lebat pada kira-kira jam 11:50 malam kelmarin di Interstate 81 arah selatan di Perbandaran Lower Paxton di Dauphin County, berhampiran Harrisburg, kata polis negeri Pennsylvania.

    Bas itu melanggar tebing, seterusnya melanggar bahagian belakang sebuah kereta dan terbalik di sisinya.

    “Tiga penumpang telah diisytiharkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata laporan polis itu, dengan yang lain mengalami kecederaan ringgan hingga parah.

    Nama mangsa tidak dinyatakan.

    “Ini dianggap sebagai insiden kemalangan besar-besaran,” kata Trooper Megan Frazer.

    “Kami mempunyai lapan ambulans yang membantu kami serta talian hayat (tindak balas kecemasan), hanya kerana melibatkan ramai orang dan jumlah kecederaan yang tinggi.”

    Ketika kejadian, hujan turun dengan lebat, kata Frazer seperti yang dilaporkan oleh WHTM-TV.

    Beberapa orang telah dibawa ke Pusat Perubatan Milton S. Hershey dengan kecederaan, tetapi polis tidak segera mengeluarkan maklumat lanjut. Mesej yang meminta komen ditinggalkan hari ini di hospital tersebut.

    Palang Merah Amerika Syarikat (AS) di negeri Pennsylvania menyediakan makanan, minuman dan katil di Jabatan Bomba Chambers Hill untuk penumpang yang dibenarkan keluar dari hospital. Apabila ditanya berapa ramai orang diberi bantuan, Palang Merah berkata keadaan masih berubah dan mereka tidak dapat mengeluarkan angka. – AP

    Polis dan pekerja penyelamat tiba di tempat kejadian bas di Lower Paxton Township, Dauphin County , Pennsylvania pada 6 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda