MARUDI, 27 SEPT – Seorang lelaki serta dua wanita maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh dalam gaung sedalam 100 meter di Jalan Lio Matu, Baram.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, tiga mangsa ialah pemandu lelaki tempatan Kebing Wan, 43, dengan dua penumpang wanita tempatan Tok Dop, 60, dan Ubong Lah, 74.
Kemalangan itu berlaku pada pukul 12:30 tengah hari semalam namun laporan polis baharu dibuat hari ini.
” Kejadian lambat dilaporkan kerana lokasi kejadian terlalu jauh daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi iaitu 12 jam perjalanan darat ke lokasi kejadian dan 12 jam perjalanan darat balik ke IPD Marudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Lio Matu menuju ke Miri dan hilang kawalan ketika melalui satu selekoh menyebabkan kenderaan terjatuh ke dalam gaung.
“Ketiga-tiga mangsa meni-nggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dibawa ke Hospital Miri,” katanya sambil menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama