Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tiga maut taufan Ewiniar landa Filipina

    MANILA, 27 MEI – Tiga orang termasuk seorang anak damit lelaki berusia tujuh bulan maut apabila taufan Ewiniar melanda Filipina telah memusnahkan kediaman dan menyebabkan banjir, kata jurucakap Polis Kebangsaan Filipina hari ini.

    Kolonel Polis Jeneral Fajardo memberitahu pemberita bahawa kesemua mangsa berasal dari wilayah Quezon, tenggara Manila.

    Laporan polis menyatakan seorang anak damit lemas selepas dihanyutkan arus deras, manakala seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun dihempap pokok tumbang ketika tidur di rumah masing-masing.

    Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) masih belum melaporkan kematian yang disebabkan oleh Ewiniar, taufan pertama yang melanda Filipina tahun ini.

    Walau bagaimanapun, agensi itu melaporkan bahawa sekurang-kurangnya tujuh orang cedera di rantau Bicol, tenggara Manila, akibat taufan itu.

    Kanak-kanak dipindahkan dari kawasan banjir oleh kakitangan pengawal pantai di Lucena, Wilayah Quezon pada 26 Mei. – AFP

    NDRRMC berkata Ewiniar menjejaskan hampir 20,000 orang di empat wilayah. Lebih 2,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan yang dikendalikan oleh kerajaan manakala selebihnya tinggal bersama saudara-mara mereka.

    Quezon adalah satu daripada wilayah yang terjejas teruk oleh Ewiniar.

    Biro Cuaca Negara Filipina PAGASA berkata, Ewiniar mengekalkan kekuatannya hari ini sambil bergerak ke arah barat laut di Laut Filipina pada 10 kilometer (km) sejam, dengan kelajuan angin puncak 140km sejam berhampiran pusatnya dan tiupan sehingga 170km sejam.

    Ewiniar, yang pertama kali melanda daratan pada Jumaat, dijangka meninggalkan Filipina pada petang atau malam Rabu.

    Filipina adalah satu daripada negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia, terutamanya kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan jalur taufan Pasifik. Secara purata, 20 taufan membadai negara kepulauan itu setiap tahun dengan beberapa daripadanya kuat dan memusnahkan. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...