Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga maut termasuk dua kanak-kanak dalam runtuhan bangunan di Itali

    ROM, 23 SEPT – Tiga individu, termasuk dua kanak-kanak, terkorban dalam kejadian runtuhan bangunan dua tingkat di Saviano, selatan Itali, menurut pihak bomba, kelmarin.

    Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal bersama keluarga mereka disahkan meninggal dunia, selain seorang wanita yang dipercayai ibu mereka, namun identiti rasmi masih belum disahkan, lapor media tempatan.

    Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan si bapa dan seorang anak damit dari bawah runtuhan, manakala dua kanak-kanak malangnya ditemukan tidak bernyawa, menurut kenyataan pihak bomba di laman sosial, semalam.

    Laporan media tempatan memaklumkan, kanak-kanak tersebut masing-masing berusia empat dan enam tahun.

    Selepas beberapa jam mencari mangsa di bawah runtuhan dengan bantuan anjing pengesan, pasukan bomba berjaya menemukan mayat wanita ketiga, kata jurucakap perkhidmatan bomba, Luca Cari kepada RaiNews 24.

    Seramai lebih 60 sukarelawan perlindungan awam turut dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat itu, menurut kenyataan wilayah Campania di laman sosial.

    Bapa dan anak damit yang terselamat kini sedang menerima rawatan di hospital, dengan si bapa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, menurut laporan media. – AFP

    Perkhidmatan kecemasan semasa berada di tapak bangunan runtuh di Saviano, Itali, pada 22 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda