Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG, 19 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Da’wah Islamiah, Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Muallaf), dengan kerjasama Unit Da’wah Daerah Tutong terus menunjukkan keprihatinan dan komitmen dalam membantu para mualaf yang memerlukan sokongan bagi menjalani kehidupan seharian agar lebih baik dan selesa.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyerahan bantuan berupa enjin penjana elektrik yang berlangsung di Pejabat Unit Da’wah Daerah Tutong, hari ini, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Bantuan tersebut disampaikan kepada tiga orang mualaf, Awang Mohammad Sahaidi bin Abdullah @ Loo Pong/Lim Tong, Awang Mohd Asrah bin Mohd Haslin @ Asrah anak Nawing dan Awang Muhammad Thaliah bin Abdullah Geruntang @ Thalih bin Geruntang
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan, dan majlis diakhiri dengan doa selamat dan seterusnya demonstrasi cara pengendalian enjin penjana elektrik kepada para penerima serta sesi bergambar ramai.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pemangku Pengarah Pusat Da’wah Islamiah Awang Haji Abdussalam bin Haji Abd Rahman selaku Pengerusi Majlis, Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama Tutong Awang Haji Azman bin Haji Musa, Ketua Kampung Tanjong Maya, Pemangku Ketua Kampung Rambai dan Pemangku Ketua Kampung Long Mayan, Tutong.
Majlis seumpama ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Da’wah Islamiah dalam usaha berterusan untuk memeduli dan meningkatkan kesejahteraan para mualaf di Negara Brunei Darussalam.




