ISTANBUL, 3 OGOS — Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Perdana Menteri Libya, Abdul-Hamid Dbeibah di Istanbul pada Jumaat bagi satu sidang kemuncak yang memfokuskan kepada isu migrasi, memperkukuh kerjasama dan menyokong kestabilan politik Libya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Meloni selepas pertemuan tertutup itu, ketiga-tiga pemimpin membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama di rantau Mediterranean, bermula dengan pengurusan aliran migrasi.
Meloni memuji ‘kejayaan cemerlang’ hasil kerjasama dengan Turkiye dalam mengawal migrasi dan berkata pengalaman itu wajar digunakan untuk menyokong usaha Kerajaan Perpaduan Nasional Libya dalam menangani isu migrasi, menurut kenyataan dari pejabatnya.
Erdogan pula menekankan keperluan kepada penyelesaian dalam “jangka panjang dan mampan” bagi menghapuskan punca utama migrasi, menurut kenyataan pejabat Presiden Turkiye. Libya merupakan titik transit utama bagi pelarian yang melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan di Afrika dan Timur Tengah.
Pada Disember lalu, kira-kira 61 pelarian termasuk wanita dan kanak-kanak lemas berhampiran bandar Zuwara di pantai barat Libya akibat cuba melarikan diri.
Perdana Menteri Itali itu turut mengulangi komitmen negaranya terhadap “kestabilan, perpaduan dan kemerdekaan Libya”, serta sokongan kepada proses politik yang diterajui Libya dan difasilitasi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke arah pilihan raya. – AP


