RIYADH, 11 MAC – Arab Saudi, Qatar dan Jordan hari ini mengutuk keputusan Israel untuk memotong bekalan elektrik di Semenanjung Gaza yang dilanda peperangan. Dalam kenyataan berasingan, ketiga-tiga negara tersebut menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan.
Israel pada Ahad lalu mengumumkan ia telah memutuskan satu-satunya talian elektrik ke loji penyahgaraman air di Gaza, sebagai usaha menekan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, agar membebaskan tebusan di tengah kebuntuan dalam rundingan gencatan senjata.
Kementerian Luar Arab Saudi menyatakan “Kecaman sekeras-kerasnya terhadap tindakan pihak berkuasa pendudukan Israel yang menggunakan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dengan memutuskan bekalan elektrik ke kawasan itu.”
Sementara itu, Kementerian Luar Qatar berkata negara teluk itu ‘mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pendudukan Israel yang memotong bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza, yang dianggap sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Sufyan Qudah menggelar pemotongan bekalan elektrik itu sebagai ‘dasar kebuluran dan kepungan berterusan yang jelas dikenakan oleh Israel’, kira-kira seminggu selepas pihak berkuasa Israel menyekat kemasukan bantuan ke Gaza.
Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ‘kesan buruk terhadap penduduk Gaza, sementara Britain berkata ia ‘sangat bimbang’ dengan tindakan Israel.
Arab Saudi menyeru masyarakat antarabangsa supaya ‘mengambil tindakan segera dengan serta-merta’, manakala Qatar turut menggesa ‘tindakan segera bagi menyediakan perlindungan yang diperlukan untuk rakyat Palestin’.
Sementara itu, Sufyan Qudah, menyeru dunia agar ‘memikul tanggungjawab undang-undang dan moral mereka, serta memaksa Israel meneruskan perjanjian gencatan senjata… memulihkan bekalan elektrik ke Gaza’ dan membuka semula lintasan sempadan untuk penghantaran bantuan.- AFP
