Sunday, November 3, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga negara setuju kongsi data amaran peluru berpandu Korea U

    SEOUL, 12 NOV – Ketua pertahanan Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun hari ini bersetuju untuk mengaktifkan operasi perkongsian data masa nyata mengenai pelancaran peluru berpandu Korea Utara bulan depan, menurut sekutu-sekutu itu.

    Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, yang berada di Seoul untuk perbincangan keselamatan tahunan, bertemu dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Shin Won-sik manakala Menteri Pertahanan Jepun, Minoru Kihara menyertai mesyuarat itu secara dalam talian.

    “Ketiga-tiga menteri itu menilai bahawa persiapan untuk operasi mekanisme perkongsian data amaran peluru berpandu masa nyata berada di peringkat akhir dan bersetuju untuk mengaktifkan mekanisme itu secara rasmi pada Disember,” kata kementerian pertahanan Seoul dalam satu kenyataan.

    Pegawai atasan juga bersetuju untuk menyediakan pelan berbilang tahun bagi latihan tiga hala biasa menjelang akhir 2023 untuk latihan yang lebih ‘sistematik dan berkesan’ mulai Januari, tambahnya.

    Semasa mesyuarat itu, ‘ketiga-tiga pemimpin menilai isu keselamatan serantau, termasuk ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat dari Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK)’, kata Jabatan Pertahanan AS dalam kenyataannya.

    Menteri-menteri itu mengikuti perjanjian yang dicapai oleh pemimpin mereka pada sidang kemuncak tiga penjuru yang dianjurkan oleh Presiden AS, Joe Biden di Camp David pada Ogos lalu. – AFP

    Gambar The Japan Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda