Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga NGO henti kerja di Afghanistan

    KABUL, 25 DIS – Tiga kumpulan bantuan asing, termasuk Save the Children, mengumumkan hari ini yang mereka menangguhkan operasi mereka di Afghanistan selepas Taliban mengarahkan semua NGO menghentikan kakitangan wanita mereka daripada bekerja.

    Pengumuman itu dibuat ketika pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) dan berpuluh-puluh NGO yang beroperasi di Afghanistan bertemu di Kabul untuk membincangkan hala seterusnya selepas sekatan terbaru Taliban memberi pukulan kepada kerja kemanusiaan di seluruh negara itu.

    “Kami tidak dapat mencapai kanak-kanak, wanita dan lelaki yang sangat memerlukan di Afghanistan dengan berkesan tanpa kakitangan wanita kami,” kata Save the Children, Majlis Pelarian Norway dan CARE dalam satu kenyataan bersama.

    “Selepas kami mendapat penjelasan mengenai pengumuman ini, kami menangguhkan program kami, menggesa bahawa lelaki dan wanita boleh bekerja sama rata meneruskan bantuan menyelamatkan nyawa di Afghanistan.”

    Arahan kelmarin yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taliban mencetuskan kecaman antarabangsa, dengan kerajaan dan organisasi memberi amaran tentang kesan terhadap perkhidmatan kemanusiaan di negara yang berjuta-juta bergantung kepada bantuan.

    Sekatan terbaharu itu dibuat kurang seminggu selepas kumpulan Islamis tegas itu melarang keras wanita daripada menghadiri universiti, menyebabkan kemarahan global dan protes di beberapa buah bandar Afghanistan.

    Kementerian Ekonomi kelmarin mengancam untuk menggantung lesen operasi NGO jika mereka gagal melaksanakan perintah itu.

    Kementerian itu yang mengeluarkan lesen berkenaan, berkata ia telah menerima ‘aduan serius’ bahawa wanita yang bekerja di NGO tidak mematuhi etika berpakaian Islam yang betul. – AFP

    Gambar fail menunjukkan wanita melaungkan slogan menentang tegahan pendidikan universiti ke atas wanita di Kabul, Afghanistan pada 22 Disember. AS telah mengecam Taliban kerana mengarahkan kumpulan NGO berhenti menggaji wanita. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda