Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga objek disyaki dron ceroboh kompleks kuasa nuklear di Jepun

    TOKYO, 27 JULAI – Tiga objek bercahaya yang dipercayai dron dikesan menceroboh kawasan Kompleks Kuasa Nuklear Genkai di barat daya Jepun, menurut pihak berkuasa pemantau nuklear negara itu hari ini.

    Menurut laporan agensi Kyodo, Pihak Berkuasa Kawal Selia Nuklear Jepun (NRA) kelmarin dimaklumkan mengenai insiden itu oleh Kyushu Electric Power Co., pengendali Stesen Kuasa Nuklear Genkai yang mempunyai empat reaktor.

    NRA memaklumkan tiada sebarang keabnormalan dikesan selepas kejadian yang dilaporkan sekitar 9 malam itu dan menegaskan bahawa tiada risiko terhadap kawasan sekitar.

    Secara prinsipnya, penerbangan dron di atas atau berhampiran loji kuasa nuklear adalah dilarang sama sekali.

    Pihak berkuasa tempatan pula memaklumkan paras radiasi di sekitar kompleks kekal normal dan tiada arahan pemindahan dikeluarkan kepada penduduk.

    Ketika ini, proses nyahaktif bagi Reaktor No. 1 dan No. 2 di kompleks berkenaan sedang dijalankan, manakala Reaktor No. 3 dan No. 4 kembali beroperasi pada 2018 selepas pematuhan piawaian keselamatan baharu yang diperketatkan selepas bencana nuklear di Loji Fukushima Daiichi akibat gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda