Wednesday, April 16, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pegawai polis terbunuh dalam letupan bom, 16 cedera

    QUETTA, 15 APRIL – Satu letupan yang menyasarkan sebuah bas polis di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, telah membunuh sekurang-kurangnya tiga pegawai polis dan mencederakan 16 yang lain hari ini, menurut pihak berkuasa.

    Bas berkenaan membawa kira-kira 40 pegawai polis ketika ia terkena letupan di daerah Mastung, sekitar 40 kilometer di selatan ibu negeri wilayah itu, Quetta, kata pegawai pentadbiran tempatan, Raja Muhammad Akram, kepada AFP.

    “Ia merupakan letupan bom (IED) tepi jalan yang mengorbankan tiga anggota polis dan mencederakan 16 yang lain,” ujar Akram.

    Pakistan telah berdepan dengan pemberontakan pemisah di wilayah Balochistan selama beberapa dekad, di mana kumpulan pemberontak menyasarkan pasukan keselamatan, warga asing dan penduduk bukan tempatan di wilayah kaya mineral yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.

    Jurucakap kerajaan wilayah, Shahid Rind, mengesahkan angka korban sambil memaklumkan dua daripada anggota polis yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.

    Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

    Namun, kumpulan Tentera Pembebasan Baloch (Baloch Liberation Army BLA) adalah antara kumpulan paling aktif di rantau itu dan sering melancarkan serangan maut terhadap pasukan keselamatan.

    Bulan lalu, kumpulan pemisah etnik Baloch menyerang sebuah kereta api yang membawa 450 penumpang, mencetuskan pengepungan selama dua hari yang menga-kibatkan puluhan nyawa terkorban. – AFP

    Orang ramai melihat sebuah bas polis yang rosak yang diletakkan di kawasan kawalan keselamatan selepas insiden letupan bom di daerah Mastung, pada 15 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda