Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pekerja terima sijil berjasa

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Tindakan pantas tiga orang pekerja sebuah syarikat swasta dan kakitangan Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (SM PJNPHAB), Kuala Belait, yang berjaya memadamkan kebakaran beberapa buah dokumen di sebuah bilik stor pada 11 Disember lalu, mendapat pujian serta penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

    Sehubungan dengan itu, jabatan berkenaan telah menye-rahkan Sijil Masyarakat Berjasa sebagai penghargaan kepada Awang Mohamad Rozizan bin Mohd Maslin yang merupakan penjaga makmal bagi SM PJNPHAB serta Awang Mohd Shamsulnizam bin Haji Abdul Latif dan Awang Mohd Hirman Azri bin Zulkernain yang merupakan pekerja Syarikat Functional Engineering Sdn Bhd.

    Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pegawai Pemerintah, Cawangan Operasi B, Penguasa Kanan Muhd Shahreeni bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengetua Akademik SM PJNPHAB, Dayang Gudaihenah binti Yadai, timbalan pengetua pentadbiran SM PJNPHAB, timbalan pegawai pemerintah Cawangan Operasi B, pemangku stesen komander Balai Bomba Kuala Belait dan Unit Perhubungan Awam, Cawangan Operasi B, Daerah Belait.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi B, Daerah Belait, JBP, di sini, hari ini, tindakan pantas kedua pekerja dan kakitangan sekolah itu telah berjaya memadamkan kebakaran kecil yang berpunca daripada kebakaran elektrik iaitu penyaman udara.

    Kenyataan menjelaskan bahawa mereka bertindak memadam dengan menggunakan dua alat pemadam api jenis karbon dioksida dan satu debu kering seterusnya menghubu-ngi talian 995 bagi tindakan selanjutnya.

    Dalam kenyataan itu juga, JBP menyatakan bahawa jabatan berkenaan menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba dan Taklimat Life Saver 995 bagi mengetahui aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api khusus bagi jabatan kerajaan, syarikat swasta, sekolah-sekolah dan penduduk kampung di negara ini.

    Pada masa yang sama, JBP menasihatkan supaya para pengguna sentiasa memastikan setiap pemakaian elektrik tidak mencapai tahap lebih bebanan, memastikan menutup suis mana-mana peralatan elektrik selepas menggunakannya atau meninggalkannya dalam jangka masa yang lama, memastikan pendawaian dalam keadaan baik serta membuat pemeriksaan dengan menggunakan syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan pastikan bangunan dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api, selimut api atau pun alat pengesan asap.

    Kenyataan juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah berhubung terus ke JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Penguasa Kanan Muhd Shahreeni bergambar ramai dengan para penerima sijil yang diraikan dan guru-guru di majlis berkenaan. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda