BELAIT, 23 JULAI – Tiga orang pelajar terpilih untuk mara ke pusingan akhir Pertandingan Wanita dalam Sains (WIS) 2020/2021 setelah berjaya meyakinkan barisan hakim dengan cadangan projek mereka dalam pusingan awal yang telah diadakan pada 16 dan 18 Julai lalu di Makmal Tenaga Seria (SEL).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tiga pelajar yang terpilih bagi pelaksanaan projek berkenaan ialah Dayang Nur Natasya binti Abdul Malik dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong; Kaylee Yong Sze Hui dari Sekolah Menengah Chung Ching, Kuala Belait dan Dayang Nuramania @ Siti Hawa binti Haji Ariffin dari Mahad Islam Brunei, Tutong.
Panel hakim yang hadir semasa pusingan awal itu ialah Organisation Effectiveness Consultant, Brunei LNG Sdn Bhd, Dayang Siti Diyana binti Abdullah; Pegawai Pendidikan dan Ketua Fasilitator Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Hajah Rosinah binti Haji Sabli; pengasas bersama The Collective Arts, Shinny Chia dan Penghubung Sains dan Pengurus Projek WIS, SEL, Dayang Nurul Fathien binti Haji Mohd Amirul Hamdie.
Kenyataan menjelaskan, pertandingan siri kedua berkenaan menyaksikan 16 pelajar wanita terbaik yang berusia 13 hingga 17 tahun bersaing untuk menerima geran WIS bagi pelaksa-naan projek mereka yang dijangka bermula Ogos hingga November depan.
Daripada 16 cadangan yang dipilih untuk menyertai WIS Bootcamp pada Mac alu, dengan tema-tema berkaitan literasi STEM atau matlamat pembangunan mapan (SDG), pusingan awal menyaksikan para pelajar dinilai berdasarkan prestasi mereka dalam tiga kategori iaitu pembentangan projek, pertunjukan bakat dan sesi soal jawab.
Daripada 16 pelajar berkenaan, tiga pelajar yang mempunyai keputusan terbaik dipilih mendapatkan geran $300 untuk melaksanakan projek-projek mereka bagi pusingan akhir yang akan dibentangkan di hadapan panel hakim pada November depan.
Menurut kenyataan, peserta dengan projek yang memberi kesan paling besar kepada komuniti sasaran dan kadar pulangan pelaburan yang tinggi akan dianugerahkan WIS ke-2 dan duta wanita bagi SEL.
