OXFORD, 1 DIS – Seorang pelajar berusia 15 tahun didakwa melepaskan tembakan di Sekolah Tinggi Oxford di luar bandar Michigan, dan membunuh tiga pelajar lain sebelum ditahan, kata polis.
Lapan yang lain, termasuk seorang guru, cedera dalam serangan pada tengah hari semalam, kata Pejabat Syerif Daerah Oakland dalam satu kenyataan.
Pelajar Tahun Dua itu ditahan dan sepucuk pistol dirampas, tetapi tidak ada penjelasan segera mengenai apa yang mendorong serangan di Oxford, sebuah bandar kecil kira-kira 65 kilometer dari utara Detroit.
“Tiada pergelutan semasa suspek ditahan dan dia turut meminta peguam dan tidak membuat sebarang kenyataan mengenai motif,” kata pejabat.
“Ia adalah keadaan yang sangat tragis. Kami mempunyai tiga mangsa yang maut ketika ini, yang semuanya dipercayai pelajar.
“Ramai ibu bapa berasa kecewa,” kata Syerif Michael McCabe kepada pemberita.
Polis berkata mereka menerima lebih daripada 100 panggilan kecemasan sejurus selepas tengah hari, dan penembak itu melepaskan 15 hingga 20 das tembakan selama kira-kira lima minit daripada pistol separa automatik.
Bagaimanapun, suspek sudah ditahan dalam tempoh lima minit selepas panggilan 911 pertama dibuat, kata mereka. – AFP
