Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Bagi menggalakkan para pelajar berkeperluan khas memiliki kemahiran dalam bidang seni dan budaya, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dengan kerjasama Singapore Airlines telah menghantar tiga orang pelajarnya untuk menyertai program pendedahan di Singapura, hari ini.
Hadir mengucapkan selamat belayar kepada para pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah wakil dari Pusat Ehsan dan Singapore Airlines ke Brunei Darussalam.
Pelajar yang dipilih itu berdasarkan kepada kebiasaan kerja harian mereka dan kemahiran yang ditentukan melalui pertandingan seni yang diadakan di negara ini pada bulan Februari lalu. Tiga pelajar terpilih yang diiringi oleh wakil-wakil dari Pusat Ehsan dan Singapore Airlines akan menyertai beberapa aktiviti sepanjang berada di Singapura seperti meneroka keindahan pemandangan pembangunan Singapura dan banyak lagi.
“Kami percaya dengan program seperti ini, ia akan menggalakkan pelajar berkeperluan khusus untuk meneruskan minat mereka dalam bidang seni sambil melawat Singapura,” Menurut Pengurus Besar Singapore Airlines, Paul Dorai Raj.
“Bagi pihak Pusat Ehsan, kami mengucapkan terima kasih kepada Singapore Airlines kerana memberi peluang kepada pelajar kami untuk melawat dan menjelajah Singapura,” kata Pemangku Ketua Pentadbiran Pusat Ehsan, Dayang Nurul Huda binti Haji Muhin.
Program berkenaan juga disokong oleh dua buah syarikat di Singapura iaitu Hotel Accor dan Wildlife Reserves Singapura.
