Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pelajar raih anugerah di Korea

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Tiga pelajar dan dua pegawai telah menyertai ASEAN+3 Student Camp for the Gifted in Science ke-14 dan ASEAN+3 Teacher Workshop for the Gifted in Science ke-16 yang dianjurkan oleh ASEAN+3 Center for the Gifted in Science (ACGS) dengan sokongan dari Kementerian Sains dan ICT Korea dan Yayasan Sains dan Kreativiti Korea (KOSAC), baru-baru ini.

    Penyertaan rombongan pelajar dan pegawai berkenaan telah diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE) di mana program itu telah diadakan di Seoul National University of Education, Seoul, Republik Korea pada 15 hingga 21 Disember lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, semasa program berkenaan, Dayang Nur Syahindah binti Sopian, pelajar Tahun 10 di bawah Skim Biasiswa Menengah dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah berjaya meraih pingat gangsa dalam aktiviti pembentangan berkumpulan secara cross-country.

    Manakala, Awang Muhd Iqbaluddin bin Muhd Sihamuddin dan Dayang Nur Insyirah binti Johari, pelajar Tahun 10 di bawah Skim Biasiswa Menengah dari ISB telah berjaya mendapat Anugerah Teladan Aktiviti Pra-Perkhemahan bagi trek masing-masing iaitu trek Physics: Building Detectors for Natural Disasters such as Earthquakes using Micro:bit dan trek Chemistry: Future Scientist Fighting Acid Rain.

    Program yang membawa tema, From Prediction to Protection: The Role of Science in Responding to Natural Disasters, telah dihadiri oleh seramai 102 pelajar dari negara-negara ASEAN+3.

    Ia merupakan program tahunan yang bertujuan untuk mengumpulkan para pelajar cerdas pintar dan berbakat serta guru-guru, dalam bidang sains dan teknologi, bagi memberikan peluang untuk berkerjasama dan mempamerkan kemahiran dalam persekitaran yang mencabar.

    Sebelum menghadiri kem pelajar berkenaan, para pelajar juga menyertai aktiviti pra-perkhemahan di dalam negara, di mana mereka diberikan tugasan individu dengan menjalankan penyelidikan berdasarkan trek topik berlainan.

    Para pelajar telah menerima bimbingan daripada pakar-pakar Fakulti Sains, Universiti Brunei Darussalam.

    Tiga pelajar dan dua guru Brunei yang menyertai ASEAN+3 Student Camp for the Gifted in Science ke-14 dan ASEAN+3 Teacher Workshop for the Gifted in Science ke-16 di Korea bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda