Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pelajar raih pencapaian dalam musabaqah di Mesir

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Dayang Najla’ Sabreena binti Haji Abdul Rajid telah berjaya mendapat tempat kedua bagi kategori Tilawatil Quran dengan markah 97 peratus, dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran bagi Penuntut Warga Asing di Republik Arab Mesir Kali Pertama Peringkat Akhir Tahun 1446H/2025M yang telah diadakan di Dewan Idarah Al-‘Aamah Lil-Wafidin, Kaherah, Republik Arab Mesir baru-baru ini.

    Sementara itu, Awang Muhammad Faiz bin Fisol pula telah berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori Menghafaz Al-Quran 30 Juz dengan markah 98.5 peratus manakala Awang Muhammad Wafiq Syahmi bin Haji Mahali juga telah mendapat tempat ketiga dengan markah 91.5 peratus bagi kategori Menghafaz Al-Quran 5 Juz.

    Semua di atas: Para peserta menerima hadiah dalam pertandingan berkenaan.

    Seramai tiga penuntut dari Negara Brunei Darussalam berkenaan merupakan pelajar yang melanjutkan pengajian di Republik Arab Mesir.

    Hadir selaku tetamu khas ke musabaqah peringkat akhir tersebut ialah Ataci (Pelajaran dan Kebudayaan), Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah.

    Gambar ramai tiga pelajar dari negara bersama Awang Haji Mohd Sujairi.

    Ketua Hakim Musabaqah, Dr Syekh Luthfi Al-Widyawi Al-Azhari dalam ucapannya telah merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pemenang serta peserta atas usaha dan pengorbanan mereka dalam menghafaz Al-Quran, serta turut berharap agar musabaqah tersebut dapat terus memupuk semangat kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan penuntut-penuntut di Republik Arab Mesir.

    Musabaqah yang dianjurkan oleh Al-Quran Fellowship (Indonesia) dengan kerjasama Al-Azhar berkenaan telah disertai seramai 150 penuntut daripada 16 buah negara, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Myanmar, Kemboja, Filipina, Nigeria, Pakistan, India, Bangladesh, Burkina Faso, Uzbekistan, Russia dan Kyrgyzstan.

    Kemuncak majlis tersebut adalah penyampaian sijil dan cenderahati oleh tetamu khas majlis dan para hakim kepada para pemenang dalam lima kategori yang dipertandingkan.

    Gambar ramai bersama antara peserta-peserta lain di pertandingan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda