BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Tiga pelumba basikal negara mencatat keputusan membanggakan dengan meraih kemenangan dalam acara Domestique by PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025 yang berlangsung di Langkawi, Malaysia.
Dalam pertandingan tersebut, bagi kategori wanita, Dayangku Yasrinnur Hayatul Aqmar binti Pengiran Haji Yakub telah tampil bergaya selaku juara.
Sementara itu, Haji Abu Bakar bin Pehin Dato Haji Abd Wahab meraih tempat kedua dalam kategori Master B Lelaki dan Haji Mohammad Nazri bin Haji Mastani menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga bagi kategori Master A Lelaki.
Perlumbaan sejauh 96.7 kilometer itu menggunakan laluan sama seperti Peringkat Pertama LTDL 2025, sekali gus menawarkan pengalaman berprestij kepada semua peserta.
Penyertaan atlet Brunei adalah atas jemputan rasmi Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sempena kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Menurut kenyataan Persekutuan Berbasikal Brunei Darussalam (BDCF), penyertaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelumba negara untuk menimba pengalaman di pentas antarabangsa, malah membuka ruang memperkukuh hubungan serantau melalui sukan berbasikal.
Acara Domestique by PETRONAS LTDL merupakan perlumbaan berstatus amatur yang diadakan seiring dengan perlumbaan utama Le Tour de Langkawi, sekali gus memberi peluang kepada pelumba dari seluruh rantau untuk beraksi di laluan yang sama dengan jaguh profesional dunia.






