LONDON, 20 MEI – Manchester United menerima khabar gembira menjelang final Liga Europa apabila Joshua Zirkzee, Diogo Dalot dan Leny Yoro kembali menjalani sesi latihan hari ini.
Skuad kendalian Ruben Amorim sedang bersiap sedia untuk menghadapi Tottenham dalam perlawanan akhir sesama kelab Inggeris yang akan berlangsung di Bilbao pada Rabu.
Zirkzee sebelum ini dilaporkan terlepas baki musim selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Newcastle pada April, namun penyerang Belanda itu kini berpotensi diturunkan setelah terlepas lapan perlawanan terakhir United dalam semua kejohanan.
Pemain pertahanan Portugal, Dalot, tidak beraksi dalam enam perlawanan akibat masalah betis, manakala pemain muda Perancis, Yoro, diketepikan dalam kekalahan 1-0 kepada Chelsea pada Jumaat lalu kerana mengalami kecederaan kaki.
Walaupun ketiga-tiga pemain itu telah kembali berlatih bersama rakan sepasukan di Carrington pada Selasa, pemain pertahanan tengah Belanda, Matthijs de Ligt, masih belum kelihatan setelah terlepas tiga perlawanan terdahulu akibat masalah yang tidak didedahkan.
United akan menentang Tottenham di Stadium San Mames dalam usaha menyelamatkan musim domestik yang suram dengan meraih trofi pertama di bawah kendalian Amorim.
Amorim, yang menggantikan Erik ten Hag selepas pemecatan pada November lalu, menyaksikan United jatuh ke tangga ke-16 Liga Perdana — hanya satu mata di atas Tottenham yang kini di tangga ke-17.
Selain menamatkan musim dengan kejuaraan, kemenangan ke atas Tottenham juga akan menjamin tempat United dalam saingan Liga Juara-Juara musim hadapan, yang turut menjanjikan pulangan kewangan lumayan. – AFP
