Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Awang Amirul Amirizan bin Moksin tidak menyangka nombornya akan dicabut sebagai nombor bertuah untuk memenangi hadiah pertama berupa baucar membeli-belah bernilai $3,000 dalam Cabutan Kedua Promosi Hari-Hari Raya 2019 yang berlangsung di Dewan Pameran NBT Bunut, hari ini.
Promosi yang dianjurkan oleh NBT (Brunei) Sdn Bhd itu menyaksikan enam cabutan bertuah diadakan sebelum cabutan utama dan cabutan hari ini merupakan yang kedua.
Majlis cabutan berkenaan dihadiri oleh lebih 50 orang pelanggan NBT yang telah membeli dan mendaftar kenderaan Toyota mereka dari 11 hingga 20 April dengan cabutan serta penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengurus Jualan Cawangan NBT Bunut, Awang Abdul Ghani bin Haji Abdul Hamid.
Bagi cabutan kali ini, tempat kedua dimenangi oleh Wong Kin Hock yang membawa pulang baucar bernilai $2,000 manakala itu, Dayang Azlina binti Dato Haji Alidin memenangi baucar bernilai $1,000 selaku pemenang ketiga.
Promosi Hari-Hari Raya 2019 dianjurkan oleh NBT Toyota Brunei bersempena dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.
Promosi itu berjalan bermula 1 April hingga 30 Mei di mana promosi yang julung-julung kali diadakan itu, mengetengahkan enam acara cabutan bertuah termasuk satu cabutan bertuah utama dalam tempoh 60 hari dengan hadiah-hadiah bernilai $50,000 untuk dimenangi oleh pelanggan-pelanggan bertuah.
Para pelanggan bertuah berpeluang untuk memenangi dua hadiah baucar membeli-belah daripada $500 hingga $10,000 sebelum Sambutan Hari Raya Aidilfitri semasa promosi berkenaan.
