Saturday, July 26, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pemenang promosi Pack Your Bags for a Memorable Experience dirai

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Tiga pemenang cabutan utama promosi Pack Your Bags for a Memorable Experience anjuran Bank Baiduri telah diumumkan dan menerima hadiah pada majlis yang berlangsung di Atrium, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.

    Hadiah pertama berupa Pengalaman Menyaksikan Hidupan Liar Sydney untuk dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak bernilai $13,000 dimenangi oleh Lim Chee Wah; hadiah kedua Pengembaraan Bali selama lapan malam menaiki kapal persiaran Ovation of the Seas melalui Singapura bernilai $8,000 dimenangi Haji Mohammad Firdaus bin Haji Suhaili.

    Manakala hadiah ketiga dimenangi Dayang Izzatul Afiqah binti Haji Abdul Kadir berupa tiket penerbangan pergi balik kelas perniagaan ke Dubai untuk dua orang bernilai $3,000.

    Hadiah-hadiah telah disampaikan Penolong Pengurus Perniagaan Kad, Bank Baiduri, Katie Lim.

    Dalam ucapan, beliau berkata, “Kami berbesar hati untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami dengan pengalaman yang melangkaui perbelanjaan harian. Kempen seperti ini membolehkan kami menunjukkan penghargaan kepada pemegang kad kami sementara menawarkan peluang perjalanan yang menarik dengan kerjasama RB.”

    Para pemenang promosi Pack Your Bags for a Memorable Experience bergambar ramai pada majlis tersebut, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Menurut kenyataan daripada Bank Baiduri, promosi yang berlangsung dari 1 Mei hingga 30 Jun itu diadakan dengan kerjasama Visa dan Penerbangan Diraja Brunei (RB) sempena ulang tahun ke-50 syarikat penerbangan itu.

    Kempen itu menampilkan reka bentuk kad Visa RB edisi terhad dan ganjaran berkaitan perjalanan yang bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

    Sebagai sebahagian daripada promosi itu, 500 pemohon baharu pertama menerima Kad Debit Visa RB Visa Infinite, Kredit Visa Platinum atau Kad Debit Visa Platinum edisi terhad.

    Pemegang kad kredit yang layak juga menikmati pengecualian yuran tahunan selama empat tahun, bersama sehingga 5,000 Royal Skies miles bergantung pada tarikh permohonan mereka.

    Pemegang kad yang memenuhi kriteria perbelanjaan minimum secara automatik dimasukkan dalam cabutan bertuah bulanan, dengan 100 pemenang diumumkan sepanjang bulan Mei dan Jun. Hadiah-hadiah bulanan termasuk Kamera DJI Action 2, Apple AirPods, Royal Skies Miles, baucar perjalanan Klook dan aksesori perjalanan.

    Turut hadir ialah pengurusan kanan dari Bank Baiduri dan RB, bersama pemenang kempen dan ahli keluarga mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda