Tuesday, March 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pendandan rambut migran ditembak mati di Pakistan

    QUETTA, 10 MAC – Tiga pendandan rambut migran ditembak mati oleh lelaki bersenjata di sebuah wilayah barat daya Pakistan, kata pihak polis hari ini, di mana keganasan oleh kumpulan pemisah semakin meningkat.

    Serangan terhadap pekerja migran dari kawasan lain negara telah meningkat di Balochistan, dengan militan menuduh mereka mengaut keuntungan daripada wilayah tersebut.

    Pendandan rambut migran, yang dituduh oleh militan sebagai pemberi maklumat kepada tentera, sering menjadi sasaran di wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran itu.

    “Tiga pendandan rambut Sindhi kehilangan nyawa mereka,” kata Muhammad Zaid, beritahu seorang pegawai polis di daerah Panjgur, kepada AFP.

    Penyerang tiba dengan motosikal, memasuki kedai pendandan rambut lewat semalam dan melepaskan tembakan, kata polis.

    Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

    Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) adalah kumpulan yang paling aktif di kawasan berkenaan, yang menuduh pihak luar mengeksploitasi sumber semula jadi kaya di wilayah mereka.

    Pada Februari, militan melaksanakan hukuman mati ke atas tujuh pekerja migran Punjabi selepas menghentikan bas dan mengenal pasti asal-usul tempat mereka.

    Seramai 11 pekerja Punjabi juga terbunuh selepas diculik dari sebuah bas di bandar Naushki pada April tahun lalu dan enam pendandan rambut Punjabi ditembak pada Mei tahun yang sama. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda