LIMA, 13 APRIL – Tiga beradik dari Scotland memulakan perjalanan dari Peru dengan harapan dapat mencatat rekod masa untuk mendayung bot merentasi Lautan Pasifik.
Ewan, Jamie dan Lachlan MacLean bertolak dengan bot gentian karbon dari Lima, bertujuan untuk sampai ke Sydney di Australia sejauh 14,500 kilometer dalam masa kira-kira empat bulan.
Ketiga-tiga mereka dari Edinburgh, yang sebelum ini mendayung bot merentasi Lautan Atlantik, berharap untuk mengumpul lebih daripada AS$1 juta untuk projek air bersih di Madagascar.
“Kami akan mendayung tanpa henti serta tanpa sokongan luar, jadi kami akan bersendirian,” kata Lachlan MacLean kepada AFP sebelum menaiki bot.
Mereka berlepas sejurus selepas 4 petang kelmarin selepas acara ringkas di mana adik bongsu mereka, Jamie, bermain bagpipe diiringi oleh kumpulan Tentera Laut Peru.
“Salah satu cabaran sebenar adalah kurang tidur. Kami mendayung sepanjang hari dan malam secara berterusan dengan berganti-ganti,” kata Ewan.
Mereka merancang untuk tidur lima hingga enam jam setiap 24 jam dan mendayung setiap 12 hingga 14 jam sehari selama 120 hingga 150 hari. – AFP
