Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Dalam melaksanakan usaha pengurangan kadar kemiskinan, setentunya memerlukan pendekatan yang strategik, berasaskan data maklumat yang tepat dan penyelarasan yang berkesan.
Untuk itu, tiga pendekatan utama yang saling melengkapi diguna pakai iaitu menjalin kerjasama rapat melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), sebagai badan penyelaras utama isu sosial senegara antara agensi-agensi, termasuk membasmi kemiskinan secara inklusif dan komprehensif, serta memastikan setiap usaha adalah berimpak dan berkesan.
Yang kedua, Melaksanakan Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan 2020-2024 dengan berkesan, berpandukan kepada visi Mengurangkan Kebergantungan kepada Bantuan bagi Melahirkan Masyarakat Yang Berdikari dan Berdaya Tahan.
Yang ketiga, memaksimumkan penggunaan Sistem Kebajikan Negara (SKN), sebagai mekanisme sistem dan proses digital yang memberi sokongan pengumpulan data dan maklumat serta penganalisisan data yang teratur dan sistematik. Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad membentangkan perkara berkenaan semasa menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof pada hari kesembilan Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyatakan kemiskinan melibatkan cabaran sosioekonomi yang kompleks dengan matlamat untuk membasminya dan mengeluarkan golongan sasaran yang kurang berkemampuan daripada kitaran kemiskinan, adalah tugas yang memerlukan pendekatan holistik dan penglibatan seluruh negara secara berterusan.

Setakat Disember 2024, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menyediakan beberapa program keusahawanan dan pekerjaan kepada 204 orang penerima bantuan dengan memperuntukkan sejumlah $130,770 bagi program pengupayaan keusahawanan sejak lima tahun kewangan.
Ini sebagai penambah kepada semua usaha yang juga dilaksanakan oleh agensi-agensi lain seperti Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Dalam melaksanakan pelan tindakan pembasmian kemiskinan berkenaan, seramai 504 penerima bantuan termasuk anak-anak atau tanggungan mereka dimasukkan ke dalam Program Pelan Pekerjaan melalui program latihan dan pemadanan pekerjaan dengan sektor swasta; manakala, kerjasama dengan Pusat Pekerjaan Brunei (JCB) telah memperkukuh usaha dalam membantu penerima bantuan mendapatkan pekerjaan.
Sehingga kini, seramai 1,914 penerima bantuan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), JUZWAB, dan Yayasan telah berdaftar dengan JCB.
Daripada jumlah itu, 276 individu dikenal pasti sebagai pencari kerja aktif, manakala 310 penerima bantuan telah berjaya dipadankan dengan pekerjaan melalui inisiatif pemadanan pekerjaan. Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato berkata KKBS juga menyediakan program latihan kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran, di mana penerima bantuan diberikan akses kepada kursus kemahiran dan sijil penyertaan bagi meningkatkan peluang pekerjaan di JAPEM, Pusat Pembangunan Belia, Darussalam Enterprise (DARe), LiveWIRE Brunei dan Big BWN.
Manakala itu, semenjak penubuhan SKN pada Julai 2020 dan setakat bulan Mac 2025, lebih 68,000 permohonan bantuan telah diterima melalui SKN. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 30,818 permohonan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) telah dihadapkan kepada JAPEM dan lebih 36,000 telah diha-dapkan kepada JUZWAB.
Dalam pada ini, Yang Berhormat Dato mengongsikan bagi permohonan yang diterima oleh JAPEM, 87 peratus (26,881) selesai diproses dan selebihnya sedang diproses, sebanyak 13,003 permohonan BKB diluluskan, di mana lebih 12,000 permohonan dihulurkan bantuan kewangan dan hampir 300 permohonan dihulurkan bantuan secara in-kind.
Yang Berhormat Dato turut mengongsikan mengenai Bantuan Keperluan Persekolahan Tahunan (BKPT) yang merupakan bantuan kerajaan secara in-kind diberikan kepada pelajar-pelajar sekolah kerajaan dan dikeluarkan dalam bentuk kupon oleh Yayasan.
Semenjak diserapkan ke dalam SKN pada tahun 2022, seramai 25,052 pelajar daripada golongan penerima bantuan di bawah JAPEM mahupun JUZWAB telah pun menerima kupon BKPT yang bernilai antara $110 hingga $240.
Secara terkumpul, sejumlah $4,604,560 telah dibelanjakan bagi bantuan ini.