BANDAR GAZA, WILAYAH PALESTIN, 18 OGOS – Tiga penduduk Palestin terbunuh oleh askar Israel di utara Semenanjung Gaza, kata kementerian kesihatan Palestin hari ini, beberapa jam selepas tiga roket dilancarkan.
Kementerian itu berkata seorang lagi penduduk Palestin dimasukkan ke hospital dalam insiden serangan itu selepas tentera Israel berkata sebuah helikopter melepaskan tembakan pada ‘anggota bersenjata’ di sepanjang penghalang yang memisahkan Israel dari Semenanjung Gaza.
“Kami baru mengenal pasti beberapa anggota bersenjata dari Gaza yang menghampiri pagar keselamatan dengan Israel dan kami melepaskan peluru ke atas mereka,” tentera berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun Twitternya.
Keganasan terbaharu itu berlaku selepas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza melancarkan tiga roket di selatan Israel lewat kelmarin, kata tentera Israel, dalam serangan kedua dalam 24 jam. Tiada kematian dicatatkan dalam serangan itu.
Tentera berkata dua daripada projektil telah dipintas oleh sistem pertahanan udara, Iron Dome tetapi tidak menentukan apa yang berlaku kepada roket ketiga. Siren serbuan udara telah dibunyikan di bandar selatan Sderot dan sekitarnya.
Pada hari Jumaat, rakyat Palestin di Gaza melancarkan roket di Sderot, dalam apa yang dikatakan oleh tentera sebagai serangan pertama sejak 12 Julai lalu. Sebagai tindak balas, pesawat perang Israel meledak sekurang-kurangnya tiga sasaran di Semenanjung Gaza pada awal kelmarin tetapi tiada kecederaan dilaporkan, kata sumber keselamatan Palestin.
Serangan melanda beberapa kawasan seperti pos pemerhatian Hamas di Beit Hanoun, utara Semenanjung Gaza, sasaran tidak dikenali berdekatan Bandar Gaza dan kawasan terbuka berhampiran Deir El Balah di bahagian tengah wilayah itu, kata sumber itu. – AFP
