Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Pengalaman menjaga nenek yang sakit pada tahun lalu menjadi sumber inspirasi buat Dayang Nur Hidayah @ Syafiqah binti Haji Rosli, salah seorang penerima Biasiswa JPMC 2025, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Kolej Sains Kesihatan JPMC (JCHS).
Dalam temu bual bersama Media Permata semasa majlis menandatangani perjanjian biasiswa berkenaan baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa pada tahun 2024, beliau diberi peluang menjaga neneknya di rumah, yang turut memberikannya pengalaman awal dalam memeriksa tekanan darah dan suhu badan.
“Daripada pengalaman itu, timbul minat dalam diri saya untuk mendalami bidang kejururawatan secara profesional,” ujarnya.
Menyentuh bidang pengkhususan yang ingin diceburi, Dayang Nur Hidayah @ Syafiqah menyatakan minat mendalam terhadap kejururawatan pembedahan, dengan hasrat membantu mereka yang berada dalam keadaan paling lemah – khususnya semasa menjalani pembedahan.
Beliau juga tertarik terhadap bagaimana tubuh manusia berfungsi dan merasakan bahawa bidang kejururawatan pembedahan memberikan peluang untuk mendalami anatomi manusia serta memahami penggunaan pelbagai peralatan pembedahan.
“Bidang ini bukan sahaja memerlukan penjagaan fizikal, tetapi turut memberi ruang untuk saya menyokong emosi para pesakit sepanjang proses pembedahan dan pemulihan mereka,” tambahnya lagi.
Beliau turut melahirkan harapan agar ilmu yang diperoleh di JCHS dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam serta mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035.
Seorang lagi penerima biasiswa, Dayang Hannah Batrisya binti Azmi Hasanal, pula menjadikan keberanian dan ketekunan petugas barisan hadapan di Gaza, termasuk jururawat, sebagai inspirasi utama untuk menceburi bidang kejururawatan.
“Semangat mereka dalam memberikan rawatan kepada kanak-kanak di Gaza walaupun dalam situasi yang sangat mencabar mencetuskan keinginan dalam diri saya untuk menjadi jururawat yang cekal dan berjiwa besar seperti mereka,” jelasnya.
Dayang Hannah Batrisya menambah bahawa kecenderungannya terhadap penjagaan kanak-kanak dan warga emas turut menjadi faktor utama dalam memilih bidang kejururawatan pediatrik dan geriatrik sebagai kerjaya masa hadapan.
“Saya ingin memastikan bahawa golongan ini menerima perhatian dan penjagaan yang sewajarnya supaya mereka dapat menjalani rawatan dengan selesa dan penuh kasih sayang,” jelasnya lagi.
Mengulas tentang masa depannya, beliau berharap dapat memberikan khidmat terbaik di JPMC selepas tamat pengajian, di samping menginspirasi generasi muda untuk menceburi bidang kejururawatan dengan memberikan pendedahan mengenai kepentingan peranan jururawat dalam masyarakat.
Sementara itu, seorang lagi penerima biasiswa, Dayang Nur Aiman Al-Ain binti Abdul Salim, menyatakan bahawa minatnya dalam sains perubatan menjadi pemangkin utama untuk menceburi bidang kejururawatan.
“Bidang ini bukan sahaja seiring dengan minat saya terhadap sains, tetapi juga memberi peluang untuk saya menyumbang kepada kesejahteraan pesakit dengan menyediakan rawatan terbaik pada saat mereka sangat memerlukan,” ujarnya.
Kesemua penerima biasiswa turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada JPMC atas peluang yang diberikan, serta bertekad untuk menimba ilmu dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Mereka juga komited untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai jururawat kelak dengan penuh integriti dan dedikasi.