Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Anugerah Biasiswa Kerajaan Brunei kepada tiga pelajar tempatan membawa makna mendalam, apabila mereka menzahirkan kesyukuran serta berjanji akan menunaikan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, bangsa dan tanah air.
Semasa sesi temu bual di Majlis Penganugerahan Biasiswa Kerajaan ke Luar Negara dan Biasiswa Khas Dalam Negara ke Sekolah-sekolah Antarabangsa yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Dewan Majlis.
Dayang Nasha Izabelli Aguirre binti Abdul Aziz, penerima biasiswa dalam bidang MSci Speech and Language Therapy berkata, beliau amat bersyukur dengan penganugerahan berkenaan yang disifatkannya sangat bermakna buat diri beliau.
“Insya Allah, dengan penganugerahan ini saya berharap akan dapat menabur bakti serta memberikan sumbangan kepada pembangunan Negara Brunei. Harapan saya melalui biasiswa ini akan membantu saya mencapai cita-cita menjadi seorang pakar terapis pertuturan dan saya berjanji akan berusaha gigih demi mencapai kejayaan,” jelasnya.
Seorang lagi penerima, Dayang Damia An-Nur Iman binti Mohammad Zulkefli, turut meluahkan rasa syukur kerana terpilih menerima biasiswa berkenaan.



“Awal-awalnya saya tidak percaya bahawa saya berjaya mendapat biasiswa ini. Biasiswa ini memberi peluang supaya saya dapat berusaha lebih gigih demi membawa manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara serta mencapai cita-cita saya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti selepas menamatkan pra-universiti.
“Insya Allah, saya ingin memperoleh ijazah dalam bidang yang saya cita-citakan dan menggunakan ilmu itu untuk membantu Brunei mencapai Wawasan 2035 serta memberi inspirasi kepada generasi muda,” ujarnya.
Sementara itu, Dayang Nur Ain Arisha binti Muhammad Armus, penerima Biasiswa Kerajaan Brunei di bawah Kementerian Pendidikan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Bahan di University of Birmingham, United Kingdom, menyifatkan penganugerahan itu sebagai satu nikmat dan amanah besar.
“Biasiswa ini bukan sahaja tiket untuk belajar di luar negara, tetapi ia adalah amanah yang perlu dipikul dengan penuh dedikasi. Ia melambangkan kepercayaan kerajaan dan negara terhadap diri saya untuk menimba ilmu setinggi mungkin dengan harapan agar suatu hari nanti saya dapat kembali berkhidmat serta menyumbang sesuatu yang bermakna kepada masyarakat dan negara,” jelasnya.
Beliau bercita-cita untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya menjadi seorang tenaga pengajar di peringkat pengajian tinggi.
“Saya ingin mendidik serta membimbing pelajar-pelajar muda supaya mereka juga dapat mencintai bidang sains dan kejuruteraan. Selain itu, saya berharap dapat terlibat dalam penyelidikan yang memberi manfaat kepada pembangunan industri di Brunei.
“Dengan izin Allah, saya akan berusaha menunaikan amanah ini dan memberi sumbangan kembali kepada tanah air tercinta,” tambahnya.

