Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JKED
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sebanyak 3,433 karton dan sembilan paket rokok, 228 botol dan 532 tin minuman keras pelbagai jenis bersama tiga buah perahu berserta enjin yang digunakan untuk membawa barang-barang tegahan berkenaan telah
dirampas dalam satu operasi baru-baru ini.
Rampasan barang tegahan kastam itu dijalankan oleh Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) semasa gerakan operasi di kawasan anak sungai Simpang 192, Kampung Setia B, Daerah Brunei dan Muara pada 24 Mei lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, hari ini, kesemua barang-barang tegahan yang telah dirampas dibawa ke Pejabat Penguat kuasa Undang-undang untuk tindakan pelupusan.
JKED menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan kastam.
Memiliki barang-barang tegahan kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006, tambah kenyataan tersebut.
JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.
Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsi maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi talian utama JKED, 8714422/8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan.
Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan.