Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Beberapa kesalahan telah dikesan dalam Operasi Kelinga 47/2023 bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh bersama Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) di tiga buah perusahaan di Daerah Tutong, baru-baru ini.
Di lokasi pertama, pegawai penguat kuasa mendapati majikan dipercayai melakukan kesalahan Perintah Pekerjaan 2009 di bawah Bab 10 iaitu tidak memberikan kontrak perkhidmatan, Bab 71, tidak memberikan cuti tahunan dan Bab 65, jam kerja melebihi 12 jam sehari ke atas enam orang pekerja asing.
Turut didapati adalah pekerja asing tidak melakukan pekerjaan mengikut apa yang tercatat dalam pasport dan lesen pekerjaan asing iaitu jawatan pelayan melakukan pekerjaan pembantu dapur, yang merupakan kesalahan di bawah Bab 112(02), Perintah Pekerjaan 2009 dan di bawah Peraturan 15(3) Peraturan Imigresen Penggal 17.
Di lokasi kedua, majikan juga didapati melakukan kesalahan tidak memberikan kontrak perkhidmatan secara bertulis dan Bab 82 iaitu tidak menyediakan peti kecemasan ke atas tujuh pekerja asing digaji di bawah jaminan majikan.
Pekerja asing juga didapati tidak melakukan pekerjaan mengikut apa yang tercatat dalam pasport dan lesen pekerjaan asing iaitu jawatan buruh melakukan pekerjaan juruwang.
Sementara itu, di lokasi terakhir, majikan juga didapati tidak menyediakan kontrak perkhidmatan dan tidak menyediakan peti kecemasan ke atas tiga pekerja asing yang digaji di bawah jaminan majikan.
